Artikel & Info Sabahan

TAJAU – Warisan Generasi

tajau

Tajau adalah panggilan di dalam dialek masyarakat yang ada di Borneo yang mana ianya merupakan sejenis tempayan yang agak sinonim dengan etnik pribumi Dusun/Murut di Sabah mahupun Etnik Iban di Sarawak. Tempayan di kalangan masyarakat Borneo adalah satu barangan warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Berbalik pada kisah ‘warisan Tajau’ masyarakat Borneo,pada suatu waktu dahulu, tajau memainkan peranan yang besar di dalam keluarga masyarakat-masyarakat etnik di Borneo kerana ianya adalah bekas yang digunakan untuk menyimpan beras bagi kegunaan harian. Sebenarnya sejak dahulu kala lagi mempunyai kedudukan yang ekslusif di dalam masyarakat kerana mereka yang memilikinya juga menentukan kekayaan sesebuah keluarga itu.

Tajau
gambar hiasan

Dahulu harga sebuah tajau yang mempunyai ciri-ciri istimewa begitu berharga sehingga harganya lebih tinggi daripada emas dan beberapa kelengkapan lain seperti tabak, chapak, pinggan-mangkuk lama,
bedil,bebendai mahupun gong.

Terdapat 7 jenis tajau yang paling tinggi nilainya di dalam masyarakat iaitu
• Guchi,
• Sergiu,
• Ningka,
• Petanda Menaga,
• Rusa,
• Salang-salang
• Alas.

Setiap ciri-ciri tajau yang disebutkan ini melambangkan kedudukan sebenar pemiliknya suatu waktu dahulu.
Ironinya, pembuatan tajau bukan dilakukan sendiri tetapi ianya ditempah ataupun dibeli daripada penjual tajau daripada saudagar tembok besar China yang datang berdagang ke kepulauan Borneo suatu waktu dahulu. Dengan simbol-simbol tertentu dan lagi berusia tajau itu lagi mahal harganya di pasaran.

tajau
gambar hiasan

Walau dimana jua ianya berasal namun hakikatnya sememangnya ianya merupakan satu barangan yang
amat berharga di dalam keluarga masyarakat Borneo khasnya Iban dan Suku Kaum Dusun/Murut.

Bagi masyarakat Iban, tajau sebenarnya adalah satu kelengkapan semasa hidup dan mati. Semasa hidup ianya digunakan oleh tuannya untuk mengisi beras dan semasa matinya pula ia digunakan sebagai barangan yang dibawa bersama-sama oleh si mati yang dikenali sebagai “baiya” dan ianya akan dikuburkan bersama-sama dengan si mati. Semua ini adalah mengikut kepercayaan masyarakat yang mengamalkan animesme iaitu pagan, tajau ini akan membawa kesenangan kepada roh si mati di alam lain kelak.

Selain itu ada juga sesetengah masyarakat dahulu kala yang menjadikannya keranda kepada si mati contohnya jika si mati itu adalah kanak-kanak kecil kerana tajau yang sederhana boleh memuatkan mayat si mati namun begitu ianya tidak juga terbatas kepada kanak-kanak kecil yang mati kerana telah terbukti melalui penemuan tajau-tajau lama ada juga sesetengahnya yang besar-besar yang dijumpai memuatkan mayat orang dewasa yang berkemungkinan besar mempunyai hirarki tertinggi di dalam masyarakat suatu waktu dahulu.

Adat pengkebumian menggunakan tajau ini di amalkan oleh masyarakat Iban Sarawak bahkan hal ini juga di amalkan oleh Masyarakat Dusun/Murut yang ada di Sabah. Tetapi kini, ianya lebih banyak digunakan sebagai tempat simpanan nira kelapa ataupun beras yang diampaikan bagi kegunaan semasa musim perayaan ataupun keramaian.

Sumber Arkib Negeri Sabah

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend