Home Berita / Isu Semasa Pekerja Kontrak Maut Dirempuh Pemandu Mabuk

Pekerja Kontrak Maut Dirempuh Pemandu Mabuk

0
Pekerja Kontrak Maut Dirempuh Pemandu Mabuk

TAWAU: Seorang pekerja kontrak maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh pemandu mabuk yang memandu kenderaan pacuan empat roda di di Batu 10 Jalan Apas pada jam 10.30 malam, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian berlaku ketika mangsa Yusuf Hussin, 42, bersama rakannya berumur 35 tahun, dari arah Batu 15 menuju ke bandar Tawau.

“Manakala pemandu pacuan empat roda seorang wanita, 44, dalam perjalanan menuju ke Bandar Sri Indah dari arah bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan medianya di sini hari ini.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila pemandu pacuan empat roda terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibatnya, pemandu terbabit telah merempuh dan mengheret motosikal mangsa yang kebetulan melalui jalan terbabit sejauh 13 meter sebelum melanggar sebatang pokok.

“Impak daripada kemalangan itu mangsa tercampak sejauh 17 meter ke kawasan semak dan disahkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian manakala rakannya pembonceng dan pemandu pacuan empat roda terbabit cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Besar Tawau.

Peter turut mengesahkan pemandu pacuan empat roda terbabit disyaki dalam keadaan mabuk selepas wanita terbabit positif ujian pernafasan dengan bacaan alkohol melebih kadar dibenarkan iaitu 201mg/100ml.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengambil darah untuk mengesan alkohol, manakala ketika kejadian keadaan jalan baik dan berturap serta tidak hujan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Sumber : Utusan Borneo Online