Home Berita / Isu Semasa Lima nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan

Lima nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan

0
Lima nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan

KOTA KINABALU – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom), Datuk Hazani Ghazali hari ini mengesahkan lima nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu Khamis lalu.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku antara jam 9.00 dan 10 malam apabila lapan lelaki yang menaiki sebuah kapal nelayan keluar menangkap ikan di perairan berkenaan sebelum lima daripada mereka dipercayai diculik.

“Pihak ESSCom sedang menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada tiga nelayan yang selamat itu,” katanya ketika dihubungi, namun beliau enggan mengulas lanjut.

Semalam Bernama melaporkan, lapan nelayan dipercayai hilang di perairan Tambisan, Tungku dekat Lahad Datu.

Kapal nelayan yang berdaftar di Sandakan dikatakan ditemui tanpa anak kapal di perairan Tangusu Bay pada jam 12.40 tengah hari semalam.

Difahamkan, lokasi kapal itu ditemui berhampiran dengan lokasi kejadian culik yang berlaku sebelum ini. – Bernama