Apa yang perlu anda tahu tentang Ranau?

Masyarakat Dusun daerah Ranau dikenal sebagai Bundu-Liwan. Ada juga variasi kecil suku-suku lain di sini, seperti Tinagas, Tindal, Tagahas, etc. Tapi majoriti adalah suku Bundu dan Liwan. Ini dua etnik Kadazandusun terbesar di Sabah yang dialeknya diangkat sebagai rujukan piawai bagi bahasa baku kaum ini.

Ranau ada banyak tarikan budaya dan alam semulajadi yang eksotik. Nunuk Ragang, yang mencitrakan asal-usul rumpun natif Momogun, berpasak di daerah ini. Sebuah tugu budaya dimahsyurkan di Ranau, khusus bagi memperingati lagenda Nunuk Ragang, yang dilangsungkan dengan upacara penuh tradisi setiap tahun.

Ranau juga ada Gunung Kinabalu, yang bukan saja satu struktur ajaib geologi — bahkan juga disulami mitos Aki Nabalu yang unik.

Gunung Kinabalu (Kredit Foto: Kee Zain)

Taman air panas Poring pun ada, yang terhasil dari termal semulajadi kerak bumi. Boleh berendam hangat-hangat dengan haba bersulfur yang memberi pelbagai manfaat kesihatan.

Tidak jauh dari Poring, Sungai Luanti menempatkan “sistem tagal” terawal di Sabah. Boleh berenang bersama ikan-ikan jinak dalam sungai terbuka yang jernih dan sejuk.

Sistem tagal di Sabah (Kredit Foto: Noor Zamri Sudin)

Khazanah flora tidak kurang hebatnya. Hutan khatulistiwa (menandingi Amazon dari segi bioversiti) di sekitar pergunungan Nabalu ditumbuhi periuk kera, orkid liar dan paku-pakis dengan koleksi spesies terbesar di dunia. Selain itu, raflesia yang diiktiraf bunga paling gergasi alam semesta juga boleh dijumpai di daerah ini.

Orang sudah tahu, tapi ramai yang kadang-kadang lupa. Daerah ini turut menyimpan dua peristiwa berdarah paling ikonik dalam sejarah Sabah. Pertama, Ranau sebagai kubu terakhir Mat Salleh, sebelum tumpas dalam pergelutan menentang penjajah Inggeris.

Kedua, daerah ini juga menjadi persinggahan finale bagi episod “death march” — tentera Australia yang ditawan Jepun dan dipaksa berjalan kaki merentas rimba tropika dari Sandakan ke Jesselton (Kota Kinabalu). Tapi perjalanan maut itu tamat di Ranau, apabila hanya tinggal tujuh tawanan yang mampu bertahan (the last survivors).

Memang daerah ini istimewa. Sehingga kini, Ranau juga telah muncul antara daerah di Sabah yang paling ramai menghasilkan graduan dan profesional. Ditambah glamour lagi dengan kemunculan idola seni dan personaliti berbakat. Masih ingat Nazeri? Anak Dusun Ranau ini pernah meneraju Raihan, pencetus revolusi nasional bagi genre nasyid kontemporari. Ini grup padusuara paling sukses dalam sejarah muzik Malaysia.

Nazrey Johani iaitu bekas vokalis utama Raihan

Pada era kegemilangan, mereka tembus pasaran sampai ke Indonesia. Album pertama (Puji Pujian, 1996) sudah mencecah jualan satu juta. Rekod pencapaian ini belum dipecahkan oleh mana-mana artis Malaysia. Siti Nurhaliza pun tak mampu, dik.

Ranau juga ada penyanyi adik beradik Adira dan Emma (AF8), Linda Nanuwil (AF2) serta Feli Stacy (juara Bintang Kecil Kebangsaan 2016). Mereka antara pesona yang telah mewarnakan tv realiti Malaysia secara signifikan.

Selain itu, Ranau melahirkan pemain seruling bambu bertaraf dunia, Khamarul Azman. Dia dinobat juara kategori instrumen kreatif dalam World Championship of Performing Arts 2016 di Hollywood.

Khamarul Azman Bin Kowasin memenangi pingat emas di Gold Medals in the World Championship of Performing Arts (WCOPA) 2016 (Kredit Foto: Borneo Holidays)

Yang terbaru, kejayaan luarbiasa Adam @ Muhammad Adam Muhibullah, seorang Dusun mualaf — yang mengungguli Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-6.

Muhammad Adam Muhibullah dari Ranau Sabah yang telah muncul sebagai juara Da’i Pendakwah Nusantara Musim Keenam (Kredit Foto: Juisa Jakla)

Saya anak jati Bunduliwan Ranau, generasi 70-an. Semasa darjah satu, saya berjalan kaki ke sekolah, lebih 15 km (pulang balik) setiap hari. Merentas di celah-celah denai hutan belukar di lereng-lereng banjaran Crocker. Ketika itu, masa depan yang mampu saya jangkau hanyalah kehijauan sekeliling dan kesegaran hawa gunung. Yang manis terlindung dari segala gangguan urban, tapi sayangnya turut tersembunyi dari aneka kemajuan.

Tidak pernah terdetik di hati kerdil, bahawa suatu ketika nanti lanskap masa depan daerah ini akan berubah dinamik dan komuniti yang selama ini terpinggir dalam kepompong kecil — akan menempah nama di jagat nasional dan antarabangsa. Serius, impian-impian begitu cuma sebuah mimpi yang terasa begitu jauh, pada zaman itu.

TETAPI, jangan kagum terduduk selepas membaca nukilan di atas. Meski pun Ranau telah melakukan anjakan yang cukup sakti dalam tempoh tiga dekad; serta menawarkan tarikan geografi, sejarah dan sosiobudaya yang begitu indah dengan pelbagai keunikan tersendiri — semua itu bukan aset paling berharga di daerah ini. Masih ada satu rahsia penting, yang ramai orang luar belum tahu.

Apakah? Mari saya kongsi kebanggaan paling agung di daerah tercantik Malaysia ini — iaitu, tradisi “pisompuruan”. Ini satu manifestasi perpaduan markat tertinggi. Di daerah ini, tidak ada prejudis yang dijurangi oleh perbezaan agama. Tidak ada diskriminasi kerana berlainan bangsa. Seluruh penduduk diikat dengan intim oleh tali persaudaraan manusiawi.

Di daerah ini, tidak ada konsep dominasi dan ketuanan bangsa. Ada banyak orang Cina yang fasih bertutur Dusun. Yang Dusun, ramai menghantar anak ke sekolah Cina. Yang Muslim, tidak ada isu mengizinkan anak belajar di sekolah Anglikan dengan lambang salib di dewan perhimpunan.

Ya, masjid, tokong dan gereja boleh megah berdiri sebelah menyebelah, mengisi ruang sepunya dalam lingkungan jarak kurang seratus meter. Di tempat majoriti Islam, penganut Katolik boleh membina gereja tanpa halangan. Begitu juga, masjid boleh didirikan tanpa sebarang soal di tengah-tengah perkampungan Kristian. Bahkan, komuniti yang berbeza agama boleh bekerjasama membangun dan menjaga rumah ibadat masing-masing.

Contoh paling misali, Kundasang — sebuah desa pergunungan di Ranau, tempat kelahiran saya. Ia didatangi mubaligh Islam Jawa sekitar tahun 50-an. Menjelang penghujung 60-an, majoriti penduduk tempatan sudah memeluk Islam. Memasuki dekad 70-an dan 80-an, Kundasang sudah tegar dikenali petempatan Dusun Muslim.

Tapi menjelang 90-an, para pemodal Cina sudah mula bermukim di Kundasang untuk membangunkan industri komersial sayur-sayuran hawa sederhana. Kemudian diikuti orang Timor dan Tator dari Indonesia, yang berhijrah masuk sebagai pekerja sektor pertanian moden ini. Sekarang sudah ada tokong dan gereja di Kundasang bagi memenuhi keperluan spiritual komuniti migran, meski pun jumlah mereka sangat minoriti.

Setiap agama mengajar penganutnya tentang toleransi dan harmoni. Inilah pegangan yang menjadikan kita semua lebih memahami dan saling bersikap adil antara satu sama lain. Kalau bersengketa kerana agama, itu sangatlah ironik.

Memang. Ranau ini destinasi pelancongan yang kaya bermacam tarikan menawan kalbu. Tapi bukan itu saja kelebihannya. Daerah ini juga memberi seribu nilai yang memanusiakan insan. Mari, datang sini. Kita sama-sama nikmati pesona alam dan budaya, serta cinta sejagat sesama makhluk Tuhan.

Artikel ini ditulis oleh Prof Madya Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Ketua Setiausaha MESTEC (Ministry of Energy, Science, Technology and Climate Change Malaysia). Berasal dari Ranau Sabah. Semoga perkongsian dari tulisan beliau boleh memberi pengetahuan tentang keindahan dan keistimewaan Ranau.

Sumber: FB Rem Dambul

All copyrights for this article are reserved to Sejarah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here