Hari-Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah)

Hari-hari tasyrik

Hari tasyrik merupakan hari-hari yang jatuh pada tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijah. Ia dinamakan tasyrik kerana pada hari tersebut daging korban dibahagikan. Hari tasyrik ialah tiga hari selepas solat Hari Raya Aidiladha.
Hari-hari tasyrik yang turut dikenali sebagai hari-hari Mina ini adalah hari yang dimuliakan oleh Allah dan memiliki keutamaan.
Firman-Nya dan maksudnya,
Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang terbilang.
-Surah al-baqarah:203
Hari-hari tasyrik
Di dalam Tafsir Ibnu Kathir, telah dibawa sebuah riwayat daripada Ibnu ‘Abbas yang berkata: ‘hari yang terbilang’ adalah hari-hari tasyrik. Di dalam kitab tersebut, al-Hafiz Ibnu Kathir telah membawa sebuah riwayat daripada Nubayshah Al-Hudzali. Beliau berkata bahawa Rasulullah bersabda,
Maksudnya:
Hari tasyrik adalah hari untuk makan, minum dan berzikir.
-Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, no:19797
Hari-hari tasyrik
Menerusi hadis ini, kita dapat fahami dua perkara tentang hari tasyrik.
a) Ia termasuk perayaan Aidiladha. Ia adalah hari untuk makan dan minum serta bergembira. Oleh itu digalakkan berkumpul bersama keluarga serta sahabat dengan menyediakan jamuan makan sesuai dengan adab dan tuntutan syarak yang perlu dijaga dan tidak membazir.
Oleh itu, pada hari tasyrik termasuk dalam hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa.
b) Ia adalah hari untuk memperbanyak zikir kepada ALLAH, terutamanya takbir dalam rangka memperbesar serta mengagungkan-Nya.
Di dalam Sahih al-Bukhari telah diriwayatkan dan maksudnya,
Ketika di Mina(pada hari-hari tasyrik), ‘Umar mengumandangkan takbir di dalam khemahnya sehingga orang ramai yang berada di dalam masjid mendengarnya. Maka, mereka dan orang ramai yang sedang berada di pasar turut serta mengumandangkan takbir sehingga kota Mina bergemuruh dengan takbir. Ibnu ‘Umar mengumandangkan takbir di Mina pada hari-hari tasyrik setiap kali selesai melaksanakan solat, di tempat tidurnya, di dalam khemah, di dalam masjid dan ketika dia sedang berjalan pada hari-hari itu.
– Diriwayatkan oleh al-Bukhari di bab Takbir Pada Hari-Hari Mina dan Ketika Berangkat Menuju Arafah di dalam Sahihnya.
Hari-hari tasyrik

Hikmah Disebalik Hari Raya Korban

hikmah-hari-raya-korban

Setiap tahun pada bulan Zulhijjah, jutaan umat Islam mengunjungi Baitullah di kota Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Pada setiap 10 Zulhijjah, seluruh umat Islam menyambut kedatangan hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Pada hari itu, umat Islam mengadakan solat sunat hari raya di samping menyembelih binatang ternakan seperti unta dan lembu untuk dikorbankan. Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat Aidil Adha dan masih dapat dilakukan pada hari-hari tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Mengikut bahasa, perkataan korban bermaksud dekat. Manakala dari segi istilah ialah menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah SWT kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Dalam sejarah, menurut Al-Quran dan kitab perjanjian lama, korban pertama yang dilakukan manusia adalah oleh dua orang adik-beradik, putera Nabi Adam, Qobil dan Habil.
Kerana suatu sengketa, mereka diperintahkan untuk melaksanakan korban, untuk menentukan siapa yang benar dalam persengketaan tersebut. Kedua saudara itu lalu menyediakan korbannya. Korban Habil diterima dan korban Qobil ditolak. Oleh kerana Habil berkorban dengan ikhlas menjalankan perintah Allah, sedangkan Qobil berkorban dengan maksud menenangkan persengketaan tersebut.
Nabi Ibrahim AS setelah selesai membangun Kaabah di kota Makkah, telah mendapat perintah untuk berkorban dengan menyembelih putera tunggal kesayangannya. Sebagai manusia biasa, perintah mengorbankan anak kesayangannya amat berat untuk dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS. Lebih-lebih lagi beliau dikurniakan cahaya mata setelah usianya lanjut, hasil perkahwinannya dengan Siti Hajar. Namun dengan hati yang berat, Nabi Ibrahim AS menyampaikan juga berita itu kepada puteranya Ismail mengenai mimpinya itu. Di dalam Al-Quran Surah as-Saffat: 102 maksudnya, “…Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?”
Sebagai seorang anak yang taat kepada perintah Allah SWT, Nabi Ismail AS telah menjawab dengan tenang dan menyakinkan, sebagaimana maksud ayat al-Quran:…”Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang yang sabar.”(as-Saffat:102). Dalam suasana yang mengharukan itu, Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah Allah tersebut. Nabi Ibrahim mencium kening puteranya itu, diletakkan di atas pangkuannya dan bersedia menyembelih.
Pada saat itu Allah telah menunjukkan kekuasaanNya dan menggantikannya dengan seekor kibas(kambing biri-biri jantan) yang muncul secara tiba-tiba menggantikan leher Nabi Ismail. Semenjak itulah Nabi Ibrahim AS melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan. Kemudian Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadat korban sebagai syiar Islam sebagaimana yang kita laksanakan pada setiap hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik.
Kisah Nabi Ibrahim dan puteranya menunjukkan betapa kesediaan kedua orang bapa dan anak dengan rela hati dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, ramai yang telah berkorban kerana Allah SWT. Umpamanya pada zaman Rasulullah SAW, ramai para sahabat berkorban untuk menegakkan agama Islam. Mereka bukan saja berkorban harta tetapi juga jiwa raga. Saidina Ali telah mempertaruhkan nyawanya sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Uthman RA banyak mengorbankan harta untuk menegakkan agama Islam. Demikianlah pengorbanan umat Islam yang terdahulu.
hari raya korban
Ibadat haji dan korban menuntut pengorbanan. Ini kerana tanpa semangat berkorban, orang akan keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan ke Mekah, meninggalkan keluarga dan pekerjaan untuk memenuhi panggilan Allah. Untuk menyembelih haiwan terpaksa juga mengeluarkan belanja. Bukan senang untuk mengorbankan harta jika hati tidak bersih daripada sifat kedekut atau sayangkan harta melaksanakan korban dengan menyembelih binatang.
Jika pada Hari Raya Aidil fitri yang lalu, kita mengeluarkan zakat fitrah bagi membantu kehidupan masyarakat yang tidak mampu, maka penyembelihan korban pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik berikutnya, juga dalam rangka membantu masyarakat itu sendiri. Cuba perhatikan, banyak pergolakan di dunia yang berlaku kebanyakannya ditimbulkan oleh rasa tidak puas hati antara golongan yang lemah yang tidak mempunyai kecukupan dalam kehidupan serta menderita kelaparan, terhadap mereka yang hidup dalam kesenangan dan kemewahan. Oleh kerana itu, umat Islam wajib untuk memikir dan memperhatikan nasib golongan ini, dan inilah di antara hikmah penyembelihan korban yang mulia.
Dengan demikian, ibadat penyembelihan korban di Aidil Adha bukan sahaja sebagai tanda syukur nikmat Allah SWT yang telah melebihkan rezeki kepada kita, tetapi di dalamnya terkandung rahsia hidup bermasyarakat. Daging korban itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama golongan umat Islam, juga mampu merapatkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin. Ibadat korban dapat mengikis sifat bakhil dan terlalu sayangkan harta.
Ibadat haji yang dilakukan pada masa ini juga menunjukkan ketaatan kepada Allah, apabila seseorang itu secara sukarela mengikut kesemua rukun haji meskipun ia memenatkannya. Ibadat haji juga mengajar erti persamaan dan persaudaraan. Apabila menunaikan haji, seorang akan merasakan bahawa kedudukan mereka sama sahaja di hadapan Allah. Dengan berpakaian ihram bagi lelaki dan bertelekung bagi perempuan, seperti tiada perbezaan di antara satu sama lain; baik orang kaya atau miskin, pemimpin atau rakyat jelata. Pada saat itu, mereka merasakan ikatan ukhuwah sesama agama Islam begitu erat tanpa menghiraukan perbezaan warna kulit, bangsa, budaya dan tempat asal mereka. Semoga tetamu Allah kali ini mendapat haji yang mabrur, yakni haji yang diterima. Haji yang ganjarannya dihapuskan seluruh dosa dan layak memasuki syurga.
*sumber IKIM

Hari yang diharamkan berpuasa bagi umat islam

Hari yang diharamkan puasa

Hari yang diharamkan berpuasa bagi umat islam adalah :
1. Hari Syak iaitu hari yang apabila dia ragu tarikh sebenar Ramadhan (30 Syaaban). Hal ini berdasarkan hadis daripada Ammar bin Yasir r.a yang bermaksud :
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Abu al-Kasim (Muhammad) SAW.”
2. Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha iaitu 1 Syawal dan 10 Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.s yang bermaksud :
“Bahawa Rasulullah SAW menegah berpuasa pada dua hari iaitu hari raya Aidilfitri dan hari rayaq Aidiladha.”
3. Hari-hari tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi SAW yang bermaksud :
“Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan minum juga hari mengingati Allah SWT.”
4. Hari Haid dan Nifas
5. Ulama Mazhab Shafie berpendapat adalah haram berpuasa pada separuh akhir bulan Syaaban. Iaitu yang di antaranya terdapat hari syak, melainkan kepada mereka yang biasa berpuasa sepanjang tahun atau bagi mereka yang berpuasa pada hari tertentu seperti hari Isnin dan Khamis, bagi mereka yang puasanya berkebetulan dengan hari selepas 15 Syaaban atau puasa nazar yang tertanggung ke atasnya atau puasa qada atau fardhu ataupun puasa yang bersambung dengan puasa selepas Syaaban dan puasa sebelumnya walaupun satu hari sebelum 15 hari Syaaban. Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud :
“Apabila telah tiba pertengahan bulan Syaaban, janganlah kamu berpuasa.” (Riwayat Ahmad)
Mazhab Hanbali dan mazhab-mazhab lain tidak berpegang kepada hadis ini kerana hadis ini adalah hadis daif menurut pendapat Imam Ahmad.
Rujukan :
Wanita Dalam Islam, Kemusykilan & Panduan